Friday, July 31, 2009

CONTOHLAH BRO NIE


Etika mat motor
Bekas pelumba Castrol kongsi tip tunggang motor cara selamatSABAN hari bagai tidak lengkap paparan berita tanpa laporan kemalangan jalan raya. Tidak keterlaluan andai dikata, macam ada yang tidak kena jika tragedi kemalangan tidak dikaitkan dengan penunggang motosikal. Apa puncanya hingga ramai penunggang motosikal terbabit dalam nahas jalan raya? Lebih menyedihkan, ramai pula terkorban hingga menyumbang kepada statistik angka kematian terbesar akibat kemalangan jalan raya. Pelbagai kempen keselamatan jalan raya sudah dianjurkan, namun keadaan nampak tidak berubah. Menyedari masalah serius itu, pengeluar minyak pelincir, Castrol bekerjasama dengan bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Halim mengendalikan program berkonsepkan panduan keselamatan jalan raya. Program ini menjadikan pelajar sekolah sebagai kelompok sasaran utama bagi menyuntik aspek kesedaran dan kepentingan keselamatan jalan raya. Program Keselamatan Jalan Raya Castrol Ke Sekolah yang mula diperkenalkan dua tahun lalu, membabitkan penyertaan 21 sekolah menengah di Semenanjung Malaysia. Kementerian Pelajaran memilih sekolah yang layak menyertai program itu selepas menimbang beberapa kriteria seperti pencapaian akademik, lokasi serta latar belakang populasi pelajar di bandar dan luar bandar. Mengulas mengenai program keselamatan jalan raya itu, Wazi yang juga bekas juara kategori Expert dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia, mengakui waktunya sudah tiba untuk pelbagai pihak menggembleng tenaga menangani masalah serius yang dihadapi penunggang motosikal di jalan raya. Sambil mengumpamakan kes kemalangan jalan raya membabitkan motosikal sebagai 'barah', Wazi berkata, masalah teknik mengendalikan motosikal serta kurang mengambil berat soal keselamatan jalan raya menjadi antara sebab kemalangan terus berlaku. "Sukar andai tiada perasaan takut serta sayang diri sendiri. Inilah akibatnya jika tidak sayang nyawa sendiri hingga sanggup menggadainya di jalan raya. Bukankah itu sia-sia. "Bayangkan, jika sudah berusaha bersungguh-sungguh, belajar hingga ke universiti tetapi akhirnya terbabit dalam kemalangan jalan raya. Insiden ini pula berlaku hanya kerana tidak menitikberatkan soal keselamatan," kata Wazi dalam nada serius. Selepas tiga tahun bersara daripada arena sukan bermotor, bekas pelumba motosikal kebangsaan ini serius membantu masyarakat terutama pelajar sekolah dan remaja dalam menyuntik kesedaran keselamatan jalan raya.
Wazi yang kini bertugas sebagai jurulatih di Akademi Latihan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), berkongsi tip dan pengalaman 17 tahun berkecimpung dalam sukan bermotor yang membawanya menjelajah seluruh dunia. Ceritakan perkembangan terkini Wazi? Selepas bersara dalam dunia permotoran, saya banyak terbabit dalam program keselamatan jalan raya. Kali ini saya dan Castrol mengendalikan program membabitkan pelajar sekolah menengah. Sebanyak 21 sekolah menengah dipilih Kementerian Pelajaran Malaysia dalam program ini yang akan bermula lusa hingga 2 April depan. Kriteria pemilihan sekolah merangkumi latar belakang berbeza mengikut penilaian kementerian. Menariknya, penganjuran kali ketiga ini membabitkan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ini secara tidak langsung membabitkan penyertaan ibu bapa dalam aspek disiplin diri dan faktor keselamatan jalan raya. Bagaimana Wazi terpilih menjadi jurucakap Program Keselamatan Jalan Raya Castrol Ke Sekolah? Idea itu timbul ketika saya bertemu wakil Castrol pada 2006 dan kami berbincang isu keselamatan jalan raya, terutama yang membabitkan penunggang motosikal. Kebetulan, Castrol memulakan langkah memperkemaskan aktiviti kebajikan di mana secara tidak langsung membawa kepada kempen keselamatan jalan raya. Nyata, idea untuk memberi taklimat dan program kepada pelajar sekolah adalah permulaan yang baik kerana mereka ini pelapis negara. Difahamkan, Wazi turut menyampaikan ceramah dalam program ini. Boleh jelaskan lebih lanjut pengisiannya? Mulai Isnin ini, Program Keselamatan Jalan Raya Castrol Ke Sekolah akan berkunjung ke sekolah menengah terpilih. Kami akan memberi panduan serta etika keselamatan jalan raya. Semestinya saya terbabit secara langsung dengan memberi tip serta berkongsi pengalaman memastikan pelajar tidak mempersiakan usia remaja dalam aktiviti tidak sihat serta menunggang motosikal dengan selamat. Program sehari ini yang sudah dua tahun diadakan mendapat maklum balas baik daripada pelajar, guru serta pengetua. Ceritakan pengalaman anda mengendalikan program ini? Pelbagai pengalaman diperoleh kerana kita berdepan pelbagai karektor pelajar. Dalam satu insiden di sebuah sekolah di luar bandar, saya terkejut mendapati sebuah motosikal yang digunakan pelajar tidak dilengkapi brek keselamatan. Bayangkan, apa yang bakal berlaku andai pelajar itu berdepan detik mencemaskan atau kemalangan. Inilah antara faktor yang ingin kita tekankan iaitu keselamatan, sayangi diri sendiri serta etika di jalan raya. Bagaimana cara terbaik untuk menitikberatkan soal keselamatan di jalan raya? Pertama sekali, pengguna jalan raya tidak kiralah motosikal mahupun pemandu kenderaan lain perlu tahu faktor keselamatan di jalan raya. Sebagai pemandu, kita patut tahu kesan dan risiko kemalangan yang boleh berlaku pada kelajuan tertentu. Sebab itu, adanya had laju yang perlu dipatuhi. Apa yang penting, usah panik apabila berlaku kecemasan seperti tayar pecah. Kita juga harus ada alternatif untuk memastikan keselamatan diri dan penumpang lain terjamin ketika berdepan risiko kecelakaan. Apakah yang lazim anda tekankan ketika memberi ceramah dalam program keselamatan jalan raya? Prinsip saya cukup mudah. Pertama, sayangi diri sendiri. Kedua, hormati orang lain. Ini secara tidak langsung mampu mengelak kecelakaan jalan raya. Saya selalu tekankan kepada anak muda supaya menyayangi diri sendiri dan jangan mempersia-siakan hidup dengan terbabit dalam kemalangan di jalan raya. Apatah lagi memilih untuk berlumba di jalan raya secara haram. Kepentingan dan pengaruh motosikal dalam kehidupan rakyat di Malaysia? Tidak dapat saya nafikan motosikal menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Tidak kira di Kuala Lumpur hinggalah ke kawasan pedalaman, motosikal memberi impak besar dalam meneruskan kelangsungan hidup. Jika di bandar, motosikal digunakan sebagai alternatif mengelak kesesakan lalu lintas, di luar bandar pula ia menjadi alat pengangkutan. Tetapi, di sebalik penggunaan motosikal, masih ramai yang kurang peka terhadap aspek keselamatan terutama pemakaian topi keledar. Walaupun sekadar bermotosikal ke kedai, kemalangan boleh berlaku di mana saja. Pandangan anda mengenai kegiatan lumba haram? Isu ini bukan saja parah tetapi boleh dikatakan barah kepada negara. Di mana-mana saja, ada saja kegiatan lumba haram. Sayangnya, kegiatan lumba haram menjadi semakin membimbangkan apabila anak muda yang terbabit dalam kegiatan ini melakukan jenayah seperti mencuri motosikal, bergaduh serta sanggup melanggar polis semata-mata mahu lari daripada sekatan jalan. Seharusnya hukuman lebih berat dikenakan bagi pesalah lumba haram. Apakah ada alternatif atau cadangan anda mengatasi masalah lumba haram? Dalam konteks ini, banyak kajian sudah dijalankan tetapi kesannya hampir sama saja. Bagi saya, tidak bermakna andai kempen membanteras lumba haram dilakukan hanya semusim, sebaliknya harus ada langkah berterusan hingga ke akar umbi. Melalui cara yang lebih bersistematik, mungkin akan ada kesannya untuk jangka panjang. Anda masih terbabit dalam sukan lumba? Oh tidak, saya sudah dua tahun meninggalkan arena sukan bermotor. Tetapi saya masih seronok menunggang motosikal. Terbaru, saya baru balik mengikuti ekspedisi bermotosikal ke Chiang Rai, Thailand. Agaknya berapa motosikal dalam simpanan Wazi? Saya memiliki tujuh motosikal di mana semuanya saya sayang, termasuk Yamaha R6. Bagaimana mulanya Wazi boleh terbabit dalam sukan bermotor? Seperti remaja lain, saya berpeluang memiliki motosikal sebaik tamat pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bekerja di sektor perbankan, saya berpeluang membeli motosikal pada usia remaja. Mengenai pembabitan awal dalam sukan bermotor, ia berlaku secara tidak dirancang di Ipoh, Perak. Mulanya suka-suka, akhirnya saya nekad berhenti kerja semata-mata mahu lebih serius dalam sukan bermotor. Alhamdulillah, selama 17 tahun berkecimpung dalam dunia permotoran, saya benar-benar puas. Apakah cabaran yang perlu dihadapi pelumba motosikal? Kemalangan sudah menjadi asam garam sukan bermotor. Begitu juga dengan kenangan pahit yang saya alami ketika berlumba di Pulau Pinang, di mana saya terbabit dalam kemalangan. Sedihnya, ketika itu saya begitu konsisten dan menjadi peserta pilihan untuk memenangi kejuaraan. Malangnya, saya terlantar di hospital selama tiga hari akibat nahas itu. Bagaimana pula kenangan manis? Oh, tentunya banyak sekali. Paling mengujakan saya terpilih menyertai pasukan Kenny Robert dan berpangkalan di Sepanyol selama setahun. Namun, kegawatan ekonomi memaksa saya pulang ke tanah air. Mengapa anda memilih menjadi pelumba motosikal dan tidak bukannya aktiviti sukan lain? Bagi saya, pembabitan dalam sukan bermotosikal datang tepat pada ketika dan masanya. Mungkin saya menjadi pelumba kereta andai saya memiliki kereta pada usia remaja. Siapa tahu? Saya sukakan cabaran dan gemar bersaing dalam apa keadaan sekalipun. Apakah ciri penting yang perlu ada sebagai pelumba motosikal? Disiplin diri dan mengekalkan tahap kecergasan badan. Elak sama sekali menghisap rokok dan meletakkan sasaran sebaik mungkin dalam perlumbaan yang disertai. Bagaimana caranya jika anak muda berminat menceburi sukan bermotor? Memang ramai anak muda ingin menceburi sukan bermotor. Ramai yang berkebolehan dan saya tidak nafikan itu. Namun, kita juga perlu lihat apakah mekanisma dan program latihan sistematik yang boleh diikuti tanpa menggadai keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Era sekarang, senario anak muda jauh berbeza. Apa yang dilarang menjadi sesuatu yang ingin diterokai. Justeru, ibu bapa tidak harus sekadar menegah sebaliknya harus menjelaskan mengapa sesuatu perkara ditegah. Kaedah yang lebih praktikal harus diambil untuk memastikan anak-anak tahu menilai keburukan berbanding kebaikannya. Biodata:
Nama : Wazi Abdul Hamid
Umur: 38 tahun
Tarikh lahir : 10 April 1971
Tempat lahir : Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tinggi : 162 sentimeter
Berat : 53 kilogramPembabitan:
Mofaz Group (Momos Team) 2006
Aprilia Motomilia 2005
Shell KF Yamaha (2000 - 2006)
Lion Suzuki Marketing (1999 - 2000)
Kawasaki Sunrock 1998
Yamaha Marlboro Asia 1997
Suzuki Hirev Malaysia 1992 - 1996Kelayakan:
Majlis Latihan Australia 1996
Enam kali latihan penunggangan lanjutan di Pusat Latihan Kenny Robert di Barcelona, Sepanyol 1995 - 1997

No comments:

Post a Comment